Tahniah dan syabas saya ucapkan kepada penyelaras Kelas Rancangan Khas kerana telah berjaya mewujudkan blog khas buat Kelas Rancangan Khas SMKDM. Saya percaya setiap maklumat yang terdapat dalam blog ini akan dapat memberikan satu gambaran yang jelas dan maklumat yang terperinci tentang Kelas Rancangan Khas SMK Datuk Menteri.
Cabaran pendidikan dalam era globalisasi menuntut semua pihak yang terlibat dalam dunia pendidikan bersedia untuk memahami keadaan semasa dan melakukan perubahan dalam menyediakan sistem pendidikan bertaraf dunia. Usaha ini penting bagi melahirkan pelajar-pelajar KRK yang memiliki ilmu pengetahuan, menguasai pelbagai kemahiran, mantap dengan nilai-nilai murni . Negara memerlukan pelajar yang mampu berdaya saing dan bersedia menghadapi masa depan dengan cemerlang.
Usaha memartabatkan pendidikan memerlukan pengorbanan dan kesungguhan semua warga sekolah. Para pendidik menjadi pendukung kejayaan sesebuah sekolah dalam semua bidang. Guru KRK perlu menunaikan tanggungjawab pengajaran dan pembelajaran dengan cara yang berkesan. Kesediaan guru KRK memahami dasar dan matlamat pendidikan, menggunakan kaedah dan peralatan yang relevan membantu kejayaan pelajar KRK. Semangat dan kesungguhan serta kesanggupan melakukan pengorbanan di samping mematuhi etika perguruan mampu meningkatkan profesion pendidikan dan mampu melahirkan pelajar yang cemerlang.
Saya menaruh harapan yang tinggi agar pelajar KRK berusaha meningkatkan penguasaan ilmu pengetahuan dan mengasah potensi yang ada untuk membina masa depan yang gemilang. Tiada jalan pintas untuk berjaya. Seseorang perlu menghadapi pelbagai cabaran dan ujian sebelum mencapai kejayaan. Tingkatkan azam dan gunakanlah peluang yang ada untuk mencapai kecemerlangan dalam pelbagai bidang.
Akhir kata saya mengharapkan semua pihak yang berkaitan dengan Kelas Rancangan Khas terus meningkatkan usaha dan kesungguhan tanpa mengenal erti jemu. Semoga usaha yang kita laksanakan akan berjaya mencapai matlamat yang diharapkan dan mampu melahirkan insan yang boleh memberi sumbangan kepada pembangunan dan kemakmuran negara.
Selamat maju jaya
EVA BINTI ABDULLAH
Pengetua Cemerlang SMK Datuk Menteri
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment